Monday 20 June 2011

Hidayah Allah Tidak Mengenal Siapa

Hari ni terbaca ruangan MEGA dalam Utusan Malaysia, iaitu tentang pengakuan seorang wartawan dan penulis terkenal AS iaitu Stephen Schwartz, 63 tahun, yang telah memeluk Islam semasa beliau berumur 49 tahun pada tahun 1997 di Bosnia dengan nama Islamnya Sulaiman Ahmad. Dikenali kerana lantang mengkritik pentadbiran George W. Bush.

Beliau bersentuhan secara langsung dengan Islam apabila pergi ke Bosnia untuk tugasan kajian terhadap sejarah bangsaYahudi di Wilayah Balkan. Beliau berkata " maka perlahan-lahan saya melihat dan mendapati Islam sahajalah yang mampu menawarkan jalan 'terdekat' untuk kita mendapatkan kasih sayang Tuhan, iaitu Allah. Bosnia adalah sebuah kota paling kuat amalan Islamnya di Eropah, saat di mana saya tidak merasakan diri ini seperti orang asing di sana".

Bagi beliau, kedatangan Islam sebenarnya menyempurnakan agama-agama samawi yang terdahulu. Yang paling terkesan di hati beliau adalah wujudnya kedamaian hati disertai kehadiran Allah di dalam setiap hal, muncul perasaan lembut, sopan santun, sederhana dan rasa ikhlas. Beliau sangat yakin nilai-nilai Islam mampu menyelesaikan aneka masalah terutama krisis moral yang berlaku di Amerika.

Semoga dengan keislaman beliau, memberi kesedaran kepada kita semua tentang apa-apa pun hebatnya manusia, tetap akan kembali mencari KHALIK yang sebenar. Semoga kita semua beroleh petunjukNYA.

Itu... berkaitan dengan seorang hamba yang dahulunya tercari-cari damai di hati serta petunjukTuhannya.. Tapi bagaimana dengan kita yang telah bergelar Islam semenjak dari lahir, lahir kita dari ibu bapa yang telah sedia beragama Islam, tetapi tidak bersedia untuk mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Sedangkan sekarang ini telah ada pelbagai akses untuk kita mendalami ilmu-ilmu agama, tetapi ke manakah kita 'mengakses' alamat tersebut. Tepuk dada, tanyalah iman......

Kita sebagai seorang Muslim sejati hendaklah hidup dalam keyakinan, iaitu yakin kepada Allah dan yakin kepada diri sendiri. Yakin di sini ialah dalam erti kata kita menyakini Allah itulah Petunjuk dan Penolong kita pada bila-bila masa. Ramai daripada kita tidak meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada Allah sepenuhnya. Sebab itulah kita masih melakukan perkara-perkara yang tidak elok atau perbuatan buruk. Jadilah seperti Umar bin al-Khattab, Umar bin Abdul Aziz, Harun al-Rasyid, Mahmud al-Zanki dan Salahuddin al-Ayyubi. Mereka semua adalah tokoh-tokoh pemimpin yang memiliki keyakinan dan kepercayaan yang kuat kepada Allah.

Kalau diikutkan.... hidayah Allah bukan hak manusia, tetapi kita mestilah berusaha menunjuk contoh yang baik dan menampilkan apa-apa yang dikehendakki Allah dengan sewajarnya. Bagi seseorang yang bukan Islam, mereka akan melihat perilaku ummat Islam sebagai model 'NKRA' untuk dinilai dan diterjemahkan, sama ada secara logik atau tidak. Sebab itulah kita disarankan melalui firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu berfirman: 'Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu'. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan dimasukkan ke neraka jahanam dalam keadaan hina". (Surah Ghafir 40:60)

Inilah beza antara doa ummat terdahulu dan ummat Nabi Muhammad, yang bermaksud Allah s.w.t. telah memberi keistimewaan kepada ummat ini dengan menjanjikan segala doa yang kita panjatkan pasti diperkenankan oleh-Nya, berbanding dengan doa ummat terdahulu yang hanya dikabulkan doa para Nabi sahaja. Oleh sebab itu, berdoa dan bersangka baiklah. Wallahu 'alam...

 

No comments:

Post a Comment