Wednesday 13 February 2013

nak balik.....

as salam. Dah lama saya tidak post sesuatu kt sini. bukan x de idea tp tak sempat nk mencelah. Kali ni terasa nk menulis sikit. Cuti raya Cina kali ini saya mengambil kesempatan utk pulang ke kampung di Kelantan. Kebetulan ada kenduri akikah anak saudara di rumah abah pada hari sabtu / 09 Februari lepas. Balik kali ni terasa ada kelainan sikit. Tiba2 terbincang dgn suami utk balik pindah ke kampung. Orait gak. Lagi pun anak kami Muhammad Uwais perlukan perhatian dr ahli keluarga, maklumlah dah makin besar. Umurnya akan menginjak ke 12 tahun, tahun ini. Kejap betul budak ni membesar... Abang da masuk U. Harap-harap 2 tahun lg, kakak pun dapat sambung belajar ke mana-mana. Jd tinggallah kami 3 beranak di rumah. Baru kejap tadi, dia 'berak', 2 kali plak tu utk jangkamasa terdekat. Biasalah kena basuh. Bayangkan bau tahi budak 12 tahun? Hanya kami sekeluarga je yang tau. Adui...

Sebab tu terasa sgt nak balik kampung. Moga2 Allah perkenankan usaha dan doa kami. Amiin..

P/s Belum pandai masukkan gambar2. kalu dah, nanti saya masukkan gambar aktiviti M. Uwais dan keluarga.

Monday 20 June 2011

DI MANA KITA?

Jenuh rasa hati dan jenuh rasa diri kerana memikirkan hal-hal berkaitan anak-anak, keluarga dekat, keluarga  jauh, diri sendiri, kerja dan lain-lain dari sebesar-besar hingga sekecil-kecil masalah.. Kadang-kadang kalau difikirkan sangat, tak senang duduk kita dibuatnya, dan kalau tak difikirkan pun, sama juga masalahnya..... Inilah kalau dikatakan manusia itu lemah dan tidak sempurna.

Dalam kita mengejar kehidupan di dunia, janganlah kita lupa kepada 'undangan' akhirat. Bila di ingatkan kata-kata ini, seram sejuk di buatnya... Kerana kita tidak tahu bilakah 'undangan' tersebut akan dipenuhi. Allah s.w.t. menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari. Sebab itu, janganlah kita sekali-kali meninggalkan solat wajib yang diwartakan ke atas kita sebagai orang Islam, kerana amalan tersebut akan mula-mula ditanya dan disoal di akhirat nanti.

Kenapa kita perlu solat? Solat adalah perintah Allah s.w.t. semenjak dari ummat terdahulu lagi. Cuma, kita ummat Nabi Muhammad mendapat perintah solat lima waktu iaitu semasa peristiwa Mikraj, Nabi ke Sidratul Muntaha. Pada asalnya, Allah perintahkan solat lima puluh waktu, tapi akhirnya menjadi lima waktu sahaja. Walau bagaimanapun, kita tetap mendapat pahala solat lima waktu ini bersamaan lima puluh waktu, Subhanallah....  

Solat juga membuatkan badan kita sihat, membentuk peribadi dan jiwa positif ummat Islam. Yang nyata, ia bukan sekadar ibadat biasa, kerana setiap pergerakan solat mengandungi berjuta manfaat dan kebaikan kepada manusia. Pergerakan solat yang dilakukan berulang kali setiap hari mampu menghindar penyakit. Tetapi, janganlah ada di kalangan kita bersolat kerana manfaat untuk jasmani sahaja apabila mengetahui kebaikan solat terhadap tubuh badan. Hendaklah kita solat kerana Allah s.w.t., kerana perintah-Nya.

Kita juga mestilah ingat, perbandingan antara orang Islam dan Orang kafir adalah pada solatnya. Seperti hadis dari Abu Daud, At-Tirmizi dan An-Nasai yang berbunyi "Janji antara kami dengan mereka (orang kafir) ialah solat, barang siapa meninggalkan solat, maka ia benar kafir".

Bila berkata atau bercakap tentang solat ini, saya faham, sekiranya ada di kalangan kita mengatakan, susah nak menyuruh anak supaya mereka sedar dan terdorong dengan sendiri untuk bersolat secara tidak dipaksa-paksa. Sama jugalah dengan saya, beberapa tahun kemudian baru saya sedar bahawa saya telah merosakkan anak-anak dengan memberi keselesaan kepada mereka, dengan tidak merotan mereka jika tidak solat sewaktu mereka sekolah rendah!!!.... Dan bila kesedaran itu datang, ianya telah terlambat atau lebih mudah dikatakan, anak-anak dah jadi liat macam tanah liat tembikar.... Kalau rotan, sakit je, tapi lebih baik dirotan daripada menyusahkan diri mereka atau pun kita sebagai ibu bapa di kemudian hari.

Solat juga bermaksud berdoa kepada Allah. Moga anak-anak kita semua mudah-mudahan mendoakan kita sewaktu kita tiada nanti... Kalau sekiranya ada di kalangan pembaca artikel ini yang masih di tahap sekolah rendah atau remaja, harapan saya semoga kamu memahami kenapa kamu mesti mengerjakan solat lima waktu tersebut. Dan kalau dapat, ajaklah ibu bapa dan semua adik -beradik yang ada, menunaikan solat secara berjemaah, cukuplah satu waktu, terutama pada waktu maghrib.

Semoga Allah s.w.t sahaja yang memberi petunjuk dan hidayah kepada kita semua ummat Islam, serta menjadikan hidup kita tidak sia-sia di dunia dan di akhirat.... Allahu Akbar.....


 

 

Hidayah Allah Tidak Mengenal Siapa

Hari ni terbaca ruangan MEGA dalam Utusan Malaysia, iaitu tentang pengakuan seorang wartawan dan penulis terkenal AS iaitu Stephen Schwartz, 63 tahun, yang telah memeluk Islam semasa beliau berumur 49 tahun pada tahun 1997 di Bosnia dengan nama Islamnya Sulaiman Ahmad. Dikenali kerana lantang mengkritik pentadbiran George W. Bush.

Beliau bersentuhan secara langsung dengan Islam apabila pergi ke Bosnia untuk tugasan kajian terhadap sejarah bangsaYahudi di Wilayah Balkan. Beliau berkata " maka perlahan-lahan saya melihat dan mendapati Islam sahajalah yang mampu menawarkan jalan 'terdekat' untuk kita mendapatkan kasih sayang Tuhan, iaitu Allah. Bosnia adalah sebuah kota paling kuat amalan Islamnya di Eropah, saat di mana saya tidak merasakan diri ini seperti orang asing di sana".

Bagi beliau, kedatangan Islam sebenarnya menyempurnakan agama-agama samawi yang terdahulu. Yang paling terkesan di hati beliau adalah wujudnya kedamaian hati disertai kehadiran Allah di dalam setiap hal, muncul perasaan lembut, sopan santun, sederhana dan rasa ikhlas. Beliau sangat yakin nilai-nilai Islam mampu menyelesaikan aneka masalah terutama krisis moral yang berlaku di Amerika.

Semoga dengan keislaman beliau, memberi kesedaran kepada kita semua tentang apa-apa pun hebatnya manusia, tetap akan kembali mencari KHALIK yang sebenar. Semoga kita semua beroleh petunjukNYA.

Itu... berkaitan dengan seorang hamba yang dahulunya tercari-cari damai di hati serta petunjukTuhannya.. Tapi bagaimana dengan kita yang telah bergelar Islam semenjak dari lahir, lahir kita dari ibu bapa yang telah sedia beragama Islam, tetapi tidak bersedia untuk mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Sedangkan sekarang ini telah ada pelbagai akses untuk kita mendalami ilmu-ilmu agama, tetapi ke manakah kita 'mengakses' alamat tersebut. Tepuk dada, tanyalah iman......

Kita sebagai seorang Muslim sejati hendaklah hidup dalam keyakinan, iaitu yakin kepada Allah dan yakin kepada diri sendiri. Yakin di sini ialah dalam erti kata kita menyakini Allah itulah Petunjuk dan Penolong kita pada bila-bila masa. Ramai daripada kita tidak meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada Allah sepenuhnya. Sebab itulah kita masih melakukan perkara-perkara yang tidak elok atau perbuatan buruk. Jadilah seperti Umar bin al-Khattab, Umar bin Abdul Aziz, Harun al-Rasyid, Mahmud al-Zanki dan Salahuddin al-Ayyubi. Mereka semua adalah tokoh-tokoh pemimpin yang memiliki keyakinan dan kepercayaan yang kuat kepada Allah.

Kalau diikutkan.... hidayah Allah bukan hak manusia, tetapi kita mestilah berusaha menunjuk contoh yang baik dan menampilkan apa-apa yang dikehendakki Allah dengan sewajarnya. Bagi seseorang yang bukan Islam, mereka akan melihat perilaku ummat Islam sebagai model 'NKRA' untuk dinilai dan diterjemahkan, sama ada secara logik atau tidak. Sebab itulah kita disarankan melalui firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu berfirman: 'Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu'. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan dimasukkan ke neraka jahanam dalam keadaan hina". (Surah Ghafir 40:60)

Inilah beza antara doa ummat terdahulu dan ummat Nabi Muhammad, yang bermaksud Allah s.w.t. telah memberi keistimewaan kepada ummat ini dengan menjanjikan segala doa yang kita panjatkan pasti diperkenankan oleh-Nya, berbanding dengan doa ummat terdahulu yang hanya dikabulkan doa para Nabi sahaja. Oleh sebab itu, berdoa dan bersangka baiklah. Wallahu 'alam...

 

Tuesday 10 May 2011

Salam Perkenalan

Assalamualaikum w.b.t,

Sebenarnya ni first time nak menulis dalam blog.. ni pun adik yang tolong buatkan. Aissh… nak tulis apa ni… susah sangat, mudahkannn…
Jadi nak berkongsi dengan anda semua….

“ Celaan Itu Ubat, Pujian Itu Racun”

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din berkata, “Sering kali manfaat yang kita dapat daripada celaan orang yang memusuhi kita lebih banyak daripada manfaat yang kita dapat daripada teman-teman yang selalu memuji kita.”

Ya, pujian lebih berbahaya daripada celaan. Ia memang manis, namun mengandungi racun yang boleh merosakkan hati manusia. Semakin terbiasa seseorang mendengar pujian, semakin hatinya tertutup daripada kebenaran. Pada waktu itu, ia tidak akan pernah tersedar daripada kekurangan dirinya apalagi tergerak untuk mengubah dan memperbaikinya. Tanda seseorang sangat hina di mata Allah, Allah membiarkannya tenggelam dalam pujian.

Sebaliknya, celaan memang pahit namun ia berisi ubat yang akan mengubah hidup kita menjadi lebih sempurna. Syaratnya kita mesti pandai mengubah celaan itu menjadi pembakar semangat seperti yang dilakukan oleh tokoh-tokoh berjiwa besar. Jika anda memiliki jiwa sebesar mereka, anda pasti melakukan apa yang mereka lakukan.

UMAR M NOOR
SOLUSI Isu no.25

Terima kasih Ustaz Umar...

Seperti kata Imam al Ghazali di atas, yang saya faham, bermaksud kata-kata 'celaan daripada musuh adalah lebih banyak manfaat' kerana seseorang itu akan dapat mengetahui apa-apa kelemahan dan kekurangan diri melalui pihak musuh. Jadi, kita boleh memperbaiki kelemahan dan kekurangan tersebut.

Jika difikirkan, di sini bukan maksud mengatakan kita mesti mencela seseorang untuk menyedarkan dia, tetapi kalau boleh lebih baik diam sahaja. Begitu juga dengan pujian, kalau merasakan pujian itu akan menyusahkan seseorang, lebih baik juga kita berdiam diri. Atau lebih baik kita menasihati seseorang yang rasa 'terpuji' itu dengan memalingkan jiwa dan raganya kepada Allah, dengan kata-kata nasihat yang sesuai. Apatah lagi kita difahamkan bahawa nasihat itu sebahagian daripada agama iaitu agama Islam. Nasihat untuk umat Islam secara umumnya adalah membimbing mereka di dalam kehidupan di dunia dan menuju akhirat.

Apa-apa pun, banyakkanlah beristighfar...

Sebagaimana kata Abu Said al-Khudri r.a.,
"Aku mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: 'Iblis berkata kepada Tuhannya: 'Demi keperkasaan-Mu dan keagungan-Mu, aku akan selalu menyesatkan anak keturunan Adam selama mana roh masih berada di dalam jasad mereka'. Allah menjawab: 'Demi keperkasaan-Ku dan keagungan-Ku, Aku akan selalu mengampuni mereka selagi mereka meminta ampun kepada-Ku'."

Itulah kita, sentiasa dalam pengampunan dan rahmat Allah. Cuma kita sebagai manusia yang berakal, menggunakan kelebihan yang Allah beri itu secara maksimum atau secara minimum???....

Jawablah dengan iman.....