Monday 20 June 2011

DI MANA KITA?

Jenuh rasa hati dan jenuh rasa diri kerana memikirkan hal-hal berkaitan anak-anak, keluarga dekat, keluarga  jauh, diri sendiri, kerja dan lain-lain dari sebesar-besar hingga sekecil-kecil masalah.. Kadang-kadang kalau difikirkan sangat, tak senang duduk kita dibuatnya, dan kalau tak difikirkan pun, sama juga masalahnya..... Inilah kalau dikatakan manusia itu lemah dan tidak sempurna.

Dalam kita mengejar kehidupan di dunia, janganlah kita lupa kepada 'undangan' akhirat. Bila di ingatkan kata-kata ini, seram sejuk di buatnya... Kerana kita tidak tahu bilakah 'undangan' tersebut akan dipenuhi. Allah s.w.t. menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari. Sebab itu, janganlah kita sekali-kali meninggalkan solat wajib yang diwartakan ke atas kita sebagai orang Islam, kerana amalan tersebut akan mula-mula ditanya dan disoal di akhirat nanti.

Kenapa kita perlu solat? Solat adalah perintah Allah s.w.t. semenjak dari ummat terdahulu lagi. Cuma, kita ummat Nabi Muhammad mendapat perintah solat lima waktu iaitu semasa peristiwa Mikraj, Nabi ke Sidratul Muntaha. Pada asalnya, Allah perintahkan solat lima puluh waktu, tapi akhirnya menjadi lima waktu sahaja. Walau bagaimanapun, kita tetap mendapat pahala solat lima waktu ini bersamaan lima puluh waktu, Subhanallah....  

Solat juga membuatkan badan kita sihat, membentuk peribadi dan jiwa positif ummat Islam. Yang nyata, ia bukan sekadar ibadat biasa, kerana setiap pergerakan solat mengandungi berjuta manfaat dan kebaikan kepada manusia. Pergerakan solat yang dilakukan berulang kali setiap hari mampu menghindar penyakit. Tetapi, janganlah ada di kalangan kita bersolat kerana manfaat untuk jasmani sahaja apabila mengetahui kebaikan solat terhadap tubuh badan. Hendaklah kita solat kerana Allah s.w.t., kerana perintah-Nya.

Kita juga mestilah ingat, perbandingan antara orang Islam dan Orang kafir adalah pada solatnya. Seperti hadis dari Abu Daud, At-Tirmizi dan An-Nasai yang berbunyi "Janji antara kami dengan mereka (orang kafir) ialah solat, barang siapa meninggalkan solat, maka ia benar kafir".

Bila berkata atau bercakap tentang solat ini, saya faham, sekiranya ada di kalangan kita mengatakan, susah nak menyuruh anak supaya mereka sedar dan terdorong dengan sendiri untuk bersolat secara tidak dipaksa-paksa. Sama jugalah dengan saya, beberapa tahun kemudian baru saya sedar bahawa saya telah merosakkan anak-anak dengan memberi keselesaan kepada mereka, dengan tidak merotan mereka jika tidak solat sewaktu mereka sekolah rendah!!!.... Dan bila kesedaran itu datang, ianya telah terlambat atau lebih mudah dikatakan, anak-anak dah jadi liat macam tanah liat tembikar.... Kalau rotan, sakit je, tapi lebih baik dirotan daripada menyusahkan diri mereka atau pun kita sebagai ibu bapa di kemudian hari.

Solat juga bermaksud berdoa kepada Allah. Moga anak-anak kita semua mudah-mudahan mendoakan kita sewaktu kita tiada nanti... Kalau sekiranya ada di kalangan pembaca artikel ini yang masih di tahap sekolah rendah atau remaja, harapan saya semoga kamu memahami kenapa kamu mesti mengerjakan solat lima waktu tersebut. Dan kalau dapat, ajaklah ibu bapa dan semua adik -beradik yang ada, menunaikan solat secara berjemaah, cukuplah satu waktu, terutama pada waktu maghrib.

Semoga Allah s.w.t sahaja yang memberi petunjuk dan hidayah kepada kita semua ummat Islam, serta menjadikan hidup kita tidak sia-sia di dunia dan di akhirat.... Allahu Akbar.....


 

 

No comments:

Post a Comment