Tuesday 10 May 2011

Salam Perkenalan

Assalamualaikum w.b.t,

Sebenarnya ni first time nak menulis dalam blog.. ni pun adik yang tolong buatkan. Aissh… nak tulis apa ni… susah sangat, mudahkannn…
Jadi nak berkongsi dengan anda semua….

“ Celaan Itu Ubat, Pujian Itu Racun”

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din berkata, “Sering kali manfaat yang kita dapat daripada celaan orang yang memusuhi kita lebih banyak daripada manfaat yang kita dapat daripada teman-teman yang selalu memuji kita.”

Ya, pujian lebih berbahaya daripada celaan. Ia memang manis, namun mengandungi racun yang boleh merosakkan hati manusia. Semakin terbiasa seseorang mendengar pujian, semakin hatinya tertutup daripada kebenaran. Pada waktu itu, ia tidak akan pernah tersedar daripada kekurangan dirinya apalagi tergerak untuk mengubah dan memperbaikinya. Tanda seseorang sangat hina di mata Allah, Allah membiarkannya tenggelam dalam pujian.

Sebaliknya, celaan memang pahit namun ia berisi ubat yang akan mengubah hidup kita menjadi lebih sempurna. Syaratnya kita mesti pandai mengubah celaan itu menjadi pembakar semangat seperti yang dilakukan oleh tokoh-tokoh berjiwa besar. Jika anda memiliki jiwa sebesar mereka, anda pasti melakukan apa yang mereka lakukan.

UMAR M NOOR
SOLUSI Isu no.25

Terima kasih Ustaz Umar...

Seperti kata Imam al Ghazali di atas, yang saya faham, bermaksud kata-kata 'celaan daripada musuh adalah lebih banyak manfaat' kerana seseorang itu akan dapat mengetahui apa-apa kelemahan dan kekurangan diri melalui pihak musuh. Jadi, kita boleh memperbaiki kelemahan dan kekurangan tersebut.

Jika difikirkan, di sini bukan maksud mengatakan kita mesti mencela seseorang untuk menyedarkan dia, tetapi kalau boleh lebih baik diam sahaja. Begitu juga dengan pujian, kalau merasakan pujian itu akan menyusahkan seseorang, lebih baik juga kita berdiam diri. Atau lebih baik kita menasihati seseorang yang rasa 'terpuji' itu dengan memalingkan jiwa dan raganya kepada Allah, dengan kata-kata nasihat yang sesuai. Apatah lagi kita difahamkan bahawa nasihat itu sebahagian daripada agama iaitu agama Islam. Nasihat untuk umat Islam secara umumnya adalah membimbing mereka di dalam kehidupan di dunia dan menuju akhirat.

Apa-apa pun, banyakkanlah beristighfar...

Sebagaimana kata Abu Said al-Khudri r.a.,
"Aku mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: 'Iblis berkata kepada Tuhannya: 'Demi keperkasaan-Mu dan keagungan-Mu, aku akan selalu menyesatkan anak keturunan Adam selama mana roh masih berada di dalam jasad mereka'. Allah menjawab: 'Demi keperkasaan-Ku dan keagungan-Ku, Aku akan selalu mengampuni mereka selagi mereka meminta ampun kepada-Ku'."

Itulah kita, sentiasa dalam pengampunan dan rahmat Allah. Cuma kita sebagai manusia yang berakal, menggunakan kelebihan yang Allah beri itu secara maksimum atau secara minimum???....

Jawablah dengan iman.....

No comments:

Post a Comment